Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) naik taraf sosioekonomi

KUALA LUMPUR, Pengagihan berbagai bantuan terutama BRIM dalam perlaksanaan pembangunan negara telah memberikan kesan positif dalam membantu mereka untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup, menurut Penganalisis Ekonomi Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Malah, katanya, bantuan seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM), Bantuan Persekolahan RM100, Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) , Bantuan Tayar 1 Malaysia dan juga Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia, juga telah membantu golongan sasaran untuk membantu perbelanjaan mereka.

Menurut beliau, perubahan struktur model ekonomi dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), dan juga usaha yang diambil untuk menangani isu berkaitan kenaikan sara hidup, telah membawa kesan positif kepada mewujudkan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat.

“Kenaikan kos sara hidup ialah masalah yang dihadapi oleh semua ekonomi di dalam dunia, termasuk di negara-negara maju, dan ianya adalah sebahagian daripada keburukan pembangunan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha untuk mengatasi masalah tersebut tidak boleh diletakkan kepada kerajaan semata-mata kerana perubahan pada cara hidup individu juga menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup.

Barang-barang yang dianggap barang mewah dahulunya kini adalah keperluan dan ini tentunya akan memberi kesan kepada kos sara hidup, kata Noor Azlan lagi.

Berdasarkan maklumbalas daripada pelbagai bantuan yang diberikan kepada golongan sasaran, ianya jelas menunjukkan yang kebanyakkan penerima gembira menerimanya, namun begitu berapa lamakah kerajaan perlu terus memberikan bantuan sebegini?

Oleh itu, kata Noor Azlan, pengagihan pelbagai jenis bantuan adalah satu cara untuk memastikan golongan sasaran, khususnya yang miskin dan berpendapatan rendah, dapat menikmati bantuan dan manfaat pertumbuhan ekonomi negara.

Cara hidup moden di dalam era teknologi informasi dan komunikasi telah menyumbangkan peningkatan permintaan untuk telefon pintar, komputer dan internet kelajuan, lebih tinggi daripada sebelumnya, dan kesannya ianya telah mengambil sejumlah besar daripada pendapatan mereka.

“Malaysia sedang melalui pembangunan yang amat pantas dan sesetengah golongan gagal menyesuaikan diri dengan kemajuan ekonomi,” katanya.

Noor Azlan, yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, berkata BRIM patut dikira sebagai pembahagian subsidi untuk sektor khusus yang boleh dinikmati oleh mereka yang benar-benar memerlukan.

Menurut beliau, usaha yang dijalankan oleh kerajaan lebih tertumpu kepada membangunkan infrastruktur yang lengkap dan kemudahan awam yang cekap, untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan pendapatan isirumah bagi mereka yang berpendapatan rendah dan menguruskan pembangunan ekonomi mengikut sektor.

Bancian pendapatan isirumah 2012 baru-baru ini telah menunjukkan bahawa pendapatan bulanan purata isirumah di Malaysia telah meningkat daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 pada 2012 ataupun peningkatan sebanyak 7.2 peratus setahun.

Sebagai maklumbalas kepada perlaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan juga Program Transformasi Ekonomi (ETP), beliau berkata inisiatif transformasi tersebut adalah sejajar dengan perubahan ekonomi semasa.

Katanya sesetengah sektor perlu diperbaiki dari semasa ke semasa, seperti sistem perlaksanaan awam, penglibatan sektor swasta, struktur pembekalan barangan dan perkhidmatan, serta sistem pengangkutan.

Katanya lagi, kerajaan telah menjalankan tugas yang baik dalam menguruskan ekonomi dan ini dapat dilihat dari segi pembangunan fizikal, infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan dimensi sosial.