Kisah wanita Cina ‘kutip’ anak Melayu

Baru saya balik dari waktu rehat pejabat, datang seorang petanya pertama ke meja saya. Beliau seorang wanita yang berbangsa Cina bersama dua orang kanak-kanak di sisinya.

Wanita Cina tersebut kelihatan berumur sekitar 50-60 tahun, yang hairannya kedua-dua budak itu tidak mirip pun wajah Cina, mereka kelihatan Melayu.

“Mummy” salah seorang budak itu panggil.

Saya terkejut dan juga berasa hairan, lalu bertanya kepada auntie budak-budak ini orang siapa.

wanita cina kutip melayu

“Ini Ridzuan dan ini Jefri. Kedua-dua mereka anak angkat saya. Mereka ini saya pelihara semasa mereka masih bayi sehingga ke sekarang. Ridzuan dibuang di tempat buang sampah dalam kotak, manakala Jefri pula ditinggalkan oleh keluarganya dan diserahkan kepada saya untuk dijaga,” katanya.

Saya terpegun sebentar.

“Saya beragama Buddha tapi mereka tidak ikut kepercayaan saya. Saya kekalkan agama asal mereka iaitu Islam. Saya hantar mereka belajar Islam di kelas agama. Mereka juga ikuti puasa ketika bulan ramadan. Saya pastikan mereka makan makanan yang halal dan kami tidak berkongsi pinggan dan mangkuk dalam rumah.”

Sekali lagi saya tergamam.

Ini adalah sisi mulia dari orang yang bukan sebangsa dan seagama yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.

Perkara ini mengingatkan saya ingin berkongsikan sesuatu. Menghormati kepercayaan dan pegangan agama antara satu sama yang lain akan membolehkan kita berada pada sebarisan pelangi yang berwarna-warni.

Dengan melalui sendiri peristiwa gempa bumi yang melanda Sabah baru-baru ini, saya percaya ikatan tali keharmonian di sini tidak pernah kusai. Malah bertambah utuh dan padu.

“Selamat Berpuasa Ramadhan Al-Mubarrak”